Sunday 13 October 2013

CINTA ALLAH vs CINTA MANUSIA ??

Artikel ini ingin mempersoalkan prioriti kita dalam cinta. Saya menyoal diri saya dan anda menyoal diri anda.

Akan tiba detik-detik dalam hidup kita di mana kita akan berbelah bagi antara cinta kepada Allah dan cinta kepada dunia. Kebanyakan kita telah mengalaminya.

Jika ditanya, “Antara Allah dan dunia, manakah pilihan kita?”, sudah tentu ramai yang akan menjawab Allah sebagai pilihan mereka. Dari segi teorinya, mudah untuk kita membuat pilihan tersebut. Mudah untuk kita katakan apa yang benar. Tetapi, cakap sahaja tidak memadai.

Allah inginkan lebih daripada kata-kata cinta yang indah. Allah berfirman:

Katakanlah, [wahai Muhammad], “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku. Allah akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran, Ayat 31)

Adakah Allah itu No. 1, ataupun slot No. 1 itu diisi dengan perkara lain?

Jika kita perhatikan ayat Quran di atas, jawapan kepada soalan ini tidak terkandung dalam perkataan, tetapi ia terkandung dalam perbuatan kita. Kita boleh gunakan informasi ini untuk ukur badan kita sendiri.

Apakah kita benar-benar cintakan Allah? Jawapannya: perhatikan perbuatan-perbuatan kita.

Apakah perbuatan-perbuatan kita menepati ajaran Rasulullah? Apakah perbuatan-perbuatan kita boleh dijadikan bukti di hadapan Allah bahawa kita benar-benar mencintai-Nya?

Ia tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila kita berada dalam situasi di mana kita harus mengorbankan kesukaan dan hasrat dunia kita. Di saat kita harus memilih antara Allah dan dunia, di saat itulah ujian sebenar kita bermula. Di saat itulah cinta kita akan diuji.

Dalam banyak-banyak ujian ini, ada ketika kita akan gagal. Mustahil untuk kita lulus semua ujian ini. Tetapi, walaupun dalam kegagalan, Allah sebenarnya sedang menguji cinta kita. Apakah respon kita terhadap kegagalan tersebut? Apakah kita lari lebih jauh daripada Allah, ataupun kita dekati-Nya dengan taubat?

Kepatuhan kita terhadap Allah itu bukti cinta kita kepada Allah. Tetapi, di saat kita gagal mematuhi-Nya, itu tidak bermakna cinta kita hilang begitu sahaja. Taubat itu juga bukti cinta kita kepada Allah.

Allah cintai mereka yang mematuhi-Nya. Allah juga cintai mereka yang taubat kepada-Nya.

Dalam isu cinta ini, tiada sesiapa pun yang dapat menafikan atau membenarkan cinta kita kepada Allah berdasarkan pemerhatian luaran semata-mata. Hanya Allah sahaja yang tahu siapa yang benar-benar mencintai-Nya dan siapa yang hanya pura-pura.

Usah sibukkan diri dengan mengukur cinta orang lain kepada Allah. Sebaliknya, sibukkanlah diri dengan mengukur cinta diri kita sendiri kepada Allah. Apabila kita berdiri dihadapan-Nya nanti, kita akan ditanya tentang cinta kita kepada-Nya dan bukan cinta orang lain kepada-Nya.

Apabila kita ditanya nanti, lidah kita tidak akan berbicara, kerana bukti cinta bukan dalam perkataan. Apabila kita ditanya nanti, anggota-anggota kita yang akan berbicara, kerana bukti cinta kita terkandung dalam perbuatan.

Jadi, buatlah yang terbaik.

No comments:

Post a Comment

thank you for your feedback