Saturday 21 September 2013

Nilai Manusia Bukan Terletak Pada Nombor

Exam

“Your grades do not determine your self-worth.” Keputusan peperiksaan anda tidak menentukan nilai anda sebagai seorang individu.

 Ramai pelajar yang menganggap bahawa keputusan peperiksaan mereka itu adalah kayu ukur kepada nilai diri mereka sebagai manusia di atas muka bumi ini.

Ini adalah salah satu sebab mengapa begitu ramai pelajar yang tertekan sehingga ada yang clinically depressed apabila tidak mendapat keputusan yang diingini. Lebih menyedihkan lagi ialah ada yang tertekan sebelum mengambil peperiksaan lagi. Semuanya kerana mereka menganggap seluruh hidup mereka bergantung kepada nombor di atas kertas – keputusan peperiksaan.

Kita tidak boleh salahkan para pelajar kerana berfikir begitu kerana sistem yang sedang mereka lalui sekarang meletakkan keputusan peperiksaan sebagai kayu ukur kecemerlangan insan. Jika anda tidak mencapai standard, maka anda tidak cemerlang.

Apakah moral yang ingin diterapkan dalam diri para pelajar dengan budaya sebegini?

Obsesi kita dengan nombor ini bukan sahaja wujud dalam sistem pendidikan, tetapi ia wujud di mana-mana sahaja. Contohnya, dalam dunia laman sosial.

Di Facebook, kita berebut-rebut untuk mendapat “like” terbanyak. Lagi banyak “like”, lagi tinggi nilai diri. Di Twitter, kita berebut-rebut untuk mendapat “followers”. Lagi banyak “followers’, lagi tinggi nilai diri. Di Youtube, kita berebut-rebut untuk mendapat “views”. Lagi banyak “views”, lagi tinggi nilai diri.

Ada yang begitu obsess dengan nombor-nombor ini sehinggakan mereka sanggup bayar untuk meningkatkan nombor mereka. Baru-baru ini, Facebook menjual “likes” kepada admin-admin Facebook page supaya mereka dapat meningkatkan “likes” di Facebook page mereka.

Obsesi ini sudah menjadi satu kegilaan. Ia tidak jauh bezanya dengan kita berebut-rebut untuk mendapat A terbanyak, CGPA tertinggi, dan markah tertinggi. Ada yang begitu obses sehingga mereka tidak peduli sama ada cara untuk mendapat nombor tersebut sah ataupun tidak. Asalkan mereka dapat apa yang diingini, maka mereka gembira.

Keputusan peperiksaan ada kepentingannya, tetapi ia tidak ada kaitan dengan nilai keseluruhan seseorang individu. Kalau anda tidak cekap dalam satu perkara, itu tidak bermakna anda tidak cekap dalam semua perkara.

Islam jelas prinsipnya dalam hal ini. Islam tidak menekankan kepada manusia untuk obses kepada keputusan akhir. Islam tekankan supaya bersihkan niat, cuba yang terbaik, dan tawakal kepada Allah.

Walau apapun keputusan akhirnya (sama ada menepati keinginan diri ataupun tidak), seorang Muslim itu akan tetap bersyukur kerana pahala daripada Allah tidak bergantung kepada keputusan akhir, tetapi ia bergantung kepada niat dan usaha. Allah menghargai usaha kita, bukan keputusan akhir kita.

No comments:

Post a Comment

thank you for your feedback