Sunday 22 September 2013

mahasisiwi,cinta dan rumahtangga


Antara perkara yang hangat dalam dunia mahasiswa mahasiswi ialah cinta dan perkahwinan.

Keluar menerjah satu kehidupan baru, bercampur dengan pelbagai golongan, dan mula banyak bekerja/bergaul dalam program, maka pendedahan terhadap berlainan jantina, juga manusia-manusia lain yang telah berumahtangga, membuatkan diri mahasiswa, mahasiswi rasa ‘terbakar’ untuk bercinta dan berumahtangga juga.

Bila terasa sedemikian, ramai yang teruja hendak ‘mempercepat’kan langkah untuk masuk ke alam rumahtangga.

Saya adalah antara yang pernah mempunyai pengalaman yang sama.


Mahasiswa – Masa Yang Takkan Kembali

Adalah perlu kita ingat bahawa zaman mahasiswa adalah zaman yang tidak akan kembali.

Di sinilah seorang mahasiswa dan mahasiswi perlu bijak melihat prioriti kehidupannya. Bila kita masuk dalam perbincangan cinta dan rumahtangga di alam mahasiswa, bukanlah kita hendak berkata bahawa percintaan di alam mahasiswa tidak bagus dan tidak baik.

Tetapi kita hendak menyatakan bahawa sebagai mahasiswa kita ada tanggungjawab yang besar yang perlu diisi. Jika kita hendak bercinta dan mendirikan rumahtangga saat kita masih berada di alam mahasiswa, hendaklah kita tidak mengenepikan tanggungjawab tadi.


Rumahtangga Membina Ummah

Saya sentiasa percaya bahawa rumahtangga merupakan asas kepada pembinaan ummah. Di dalam dunia dakwah dan tarbiyah, maratib amal disusun seperti berikut:

Individu muslim – rumahtangga muslim – Kerajaan Islam – Daulah Islam – Ustaziatul Alam(Islam sebagai mahaguru alam).

Kembali kepada perbincangan kita – Mahasiswa, Cinta dan Rumahtangga – hendaklah kita sedar bahawa tanggungjawab kita sebagai mahasiswa yang besar tadi hakikatnya juga adalah sebuah pembentukan diri. Sebelum kita terburu-buru melemaskan diri di dalam aura percintaan, dan menyibukkan diri dengan tanggungjawab rumahtangga yang pelbagai, hendaklah kita melakukan persediaan.


Persediaan Membentuk Peribadi

Sebagai Mahasiswa, janganlah kita terjerat dengan masalah sosial dan pembaziran masa. Apabila sudah ada rasa hati hendak bercinta dan mendirikan rumahtangga, hendaklah diri belajar membuat perancangan dan strategi.

Agar tidak terjadi kepada diri seperti mana pepatah melayu sering menyebut: “Apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.”

Maka susunlah perancangan.  Di mana pelajaran kita, di mana pemantapan syakhsiah kita, di mana peningkatan rasa bertanggungjawab kita, bagaimana kekuatan kewangan kita, seterusnya perancangan untuk majlis perkahwinan dan kehidupan selepas berumahtangga, lebih-lebih lagi jika berumahtangga kala sedang belajar. Hendaklah kita menyusun betul-betul jadual hidup, pembahagian masa dan prioriti kita.

Jangan mabuk hanya dengan perasaan semata-mata, yang seterusnya membazirkan masa, intelek dan harta kita. Jangan jual diri kita dengan angan-angan yang murah.

Sebagai mahasiswa kita perlu sedar tanggungjawab kita untuk masa hadapan ummah ini.

Cinta dan rumahtangga bukanlah benda untuk diseronok-seronokkan.

Ianya adalah sebuah komitmen dan tanggungjawab.

Sebagaimana amanah kita terhadap diri kita sebagai mahasiswa juga.



Penutup: Cinta Yang Dipandu, Bukan Cinta Yang Memandu

Maka mahasiswa perlu jelas. Apa sebenarnya yang hendak dia capai. Bukan tidak boleh bercinta ketika masih belajar, tetapi ‘to what extend’, ‘what is our plan’,  ‘how prepared are we’, itu semua merupakan soalan-soalan wajib yang perlu ditanya kepada diri.

Biarlah kita, sebagai mahasiswa/mahasiswi, yang mempunyai intelek, hidup di dalam lautan ilmu, memandu cinta dan bukannya cinta yang memandu kita.

Jangan nanti selepas sudah berumahtangga beberapa waktu, penyesalan dek kerana tidak menghargai zaman mahasiswa yang ada datang menjengah.

Ketika itu tanggungjawab pun telah bertambah, komitmen sudah banyak, dan diri terasa seperti menjadi orang tua yang penuh dengan penyesalan, kerana silap menguruskan masa mudanya.

No comments:

Post a Comment

thank you for your feedback