Sunday, 22 September 2013

mahasisiwi,cinta dan rumahtangga


Antara perkara yang hangat dalam dunia mahasiswa mahasiswi ialah cinta dan perkahwinan.

Keluar menerjah satu kehidupan baru, bercampur dengan pelbagai golongan, dan mula banyak bekerja/bergaul dalam program, maka pendedahan terhadap berlainan jantina, juga manusia-manusia lain yang telah berumahtangga, membuatkan diri mahasiswa, mahasiswi rasa ‘terbakar’ untuk bercinta dan berumahtangga juga.

Bila terasa sedemikian, ramai yang teruja hendak ‘mempercepat’kan langkah untuk masuk ke alam rumahtangga.

Saya adalah antara yang pernah mempunyai pengalaman yang sama.


Mahasiswa – Masa Yang Takkan Kembali

Adalah perlu kita ingat bahawa zaman mahasiswa adalah zaman yang tidak akan kembali.

Di sinilah seorang mahasiswa dan mahasiswi perlu bijak melihat prioriti kehidupannya. Bila kita masuk dalam perbincangan cinta dan rumahtangga di alam mahasiswa, bukanlah kita hendak berkata bahawa percintaan di alam mahasiswa tidak bagus dan tidak baik.

Tetapi kita hendak menyatakan bahawa sebagai mahasiswa kita ada tanggungjawab yang besar yang perlu diisi. Jika kita hendak bercinta dan mendirikan rumahtangga saat kita masih berada di alam mahasiswa, hendaklah kita tidak mengenepikan tanggungjawab tadi.


Rumahtangga Membina Ummah

Saya sentiasa percaya bahawa rumahtangga merupakan asas kepada pembinaan ummah. Di dalam dunia dakwah dan tarbiyah, maratib amal disusun seperti berikut:

Individu muslim – rumahtangga muslim – Kerajaan Islam – Daulah Islam – Ustaziatul Alam(Islam sebagai mahaguru alam).

Kembali kepada perbincangan kita – Mahasiswa, Cinta dan Rumahtangga – hendaklah kita sedar bahawa tanggungjawab kita sebagai mahasiswa yang besar tadi hakikatnya juga adalah sebuah pembentukan diri. Sebelum kita terburu-buru melemaskan diri di dalam aura percintaan, dan menyibukkan diri dengan tanggungjawab rumahtangga yang pelbagai, hendaklah kita melakukan persediaan.


Persediaan Membentuk Peribadi

Sebagai Mahasiswa, janganlah kita terjerat dengan masalah sosial dan pembaziran masa. Apabila sudah ada rasa hati hendak bercinta dan mendirikan rumahtangga, hendaklah diri belajar membuat perancangan dan strategi.

Agar tidak terjadi kepada diri seperti mana pepatah melayu sering menyebut: “Apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.”

Maka susunlah perancangan.  Di mana pelajaran kita, di mana pemantapan syakhsiah kita, di mana peningkatan rasa bertanggungjawab kita, bagaimana kekuatan kewangan kita, seterusnya perancangan untuk majlis perkahwinan dan kehidupan selepas berumahtangga, lebih-lebih lagi jika berumahtangga kala sedang belajar. Hendaklah kita menyusun betul-betul jadual hidup, pembahagian masa dan prioriti kita.

Jangan mabuk hanya dengan perasaan semata-mata, yang seterusnya membazirkan masa, intelek dan harta kita. Jangan jual diri kita dengan angan-angan yang murah.

Sebagai mahasiswa kita perlu sedar tanggungjawab kita untuk masa hadapan ummah ini.

Cinta dan rumahtangga bukanlah benda untuk diseronok-seronokkan.

Ianya adalah sebuah komitmen dan tanggungjawab.

Sebagaimana amanah kita terhadap diri kita sebagai mahasiswa juga.



Penutup: Cinta Yang Dipandu, Bukan Cinta Yang Memandu

Maka mahasiswa perlu jelas. Apa sebenarnya yang hendak dia capai. Bukan tidak boleh bercinta ketika masih belajar, tetapi ‘to what extend’, ‘what is our plan’,  ‘how prepared are we’, itu semua merupakan soalan-soalan wajib yang perlu ditanya kepada diri.

Biarlah kita, sebagai mahasiswa/mahasiswi, yang mempunyai intelek, hidup di dalam lautan ilmu, memandu cinta dan bukannya cinta yang memandu kita.

Jangan nanti selepas sudah berumahtangga beberapa waktu, penyesalan dek kerana tidak menghargai zaman mahasiswa yang ada datang menjengah.

Ketika itu tanggungjawab pun telah bertambah, komitmen sudah banyak, dan diri terasa seperti menjadi orang tua yang penuh dengan penyesalan, kerana silap menguruskan masa mudanya.

Saturday, 21 September 2013

Nilai Manusia Bukan Terletak Pada Nombor

Exam

“Your grades do not determine your self-worth.” Keputusan peperiksaan anda tidak menentukan nilai anda sebagai seorang individu.

 Ramai pelajar yang menganggap bahawa keputusan peperiksaan mereka itu adalah kayu ukur kepada nilai diri mereka sebagai manusia di atas muka bumi ini.

Ini adalah salah satu sebab mengapa begitu ramai pelajar yang tertekan sehingga ada yang clinically depressed apabila tidak mendapat keputusan yang diingini. Lebih menyedihkan lagi ialah ada yang tertekan sebelum mengambil peperiksaan lagi. Semuanya kerana mereka menganggap seluruh hidup mereka bergantung kepada nombor di atas kertas – keputusan peperiksaan.

Kita tidak boleh salahkan para pelajar kerana berfikir begitu kerana sistem yang sedang mereka lalui sekarang meletakkan keputusan peperiksaan sebagai kayu ukur kecemerlangan insan. Jika anda tidak mencapai standard, maka anda tidak cemerlang.

Apakah moral yang ingin diterapkan dalam diri para pelajar dengan budaya sebegini?

Obsesi kita dengan nombor ini bukan sahaja wujud dalam sistem pendidikan, tetapi ia wujud di mana-mana sahaja. Contohnya, dalam dunia laman sosial.

Di Facebook, kita berebut-rebut untuk mendapat “like” terbanyak. Lagi banyak “like”, lagi tinggi nilai diri. Di Twitter, kita berebut-rebut untuk mendapat “followers”. Lagi banyak “followers’, lagi tinggi nilai diri. Di Youtube, kita berebut-rebut untuk mendapat “views”. Lagi banyak “views”, lagi tinggi nilai diri.

Ada yang begitu obsess dengan nombor-nombor ini sehinggakan mereka sanggup bayar untuk meningkatkan nombor mereka. Baru-baru ini, Facebook menjual “likes” kepada admin-admin Facebook page supaya mereka dapat meningkatkan “likes” di Facebook page mereka.

Obsesi ini sudah menjadi satu kegilaan. Ia tidak jauh bezanya dengan kita berebut-rebut untuk mendapat A terbanyak, CGPA tertinggi, dan markah tertinggi. Ada yang begitu obses sehingga mereka tidak peduli sama ada cara untuk mendapat nombor tersebut sah ataupun tidak. Asalkan mereka dapat apa yang diingini, maka mereka gembira.

Keputusan peperiksaan ada kepentingannya, tetapi ia tidak ada kaitan dengan nilai keseluruhan seseorang individu. Kalau anda tidak cekap dalam satu perkara, itu tidak bermakna anda tidak cekap dalam semua perkara.

Islam jelas prinsipnya dalam hal ini. Islam tidak menekankan kepada manusia untuk obses kepada keputusan akhir. Islam tekankan supaya bersihkan niat, cuba yang terbaik, dan tawakal kepada Allah.

Walau apapun keputusan akhirnya (sama ada menepati keinginan diri ataupun tidak), seorang Muslim itu akan tetap bersyukur kerana pahala daripada Allah tidak bergantung kepada keputusan akhir, tetapi ia bergantung kepada niat dan usaha. Allah menghargai usaha kita, bukan keputusan akhir kita.

Saturday, 3 August 2013

HUKUM PAKAI INAI BERCORAK

hukum pakai inai bercorak
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Ugama Islam kali ke 88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan hukum pemakaian inai secara bercorak mengikut syarak.Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pemakaian inai pada kedua-dua belah tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2 .     Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
3.       Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.




Thursday, 1 August 2013

لا تقربوا الزنى

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Komik ini ana kongsi dari www.iluvislam.com...


 
 
وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zinaitu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Isra’ 17: Ayat Ke 32)

Wednesday, 31 July 2013

HIKMAH...

ini hasil perkongsian sahabat ana ^^

friends by iamkimji (devianart)

“sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan” (al-insyirah : 6)
Apabila, ada orang datang mengadu pada kita tentang masalah dia, pelbagai cara kita boleh kata. lama mana pun kita sanggup tadah telinga. seluas luasnya kita berlapang dada. nasihat, saranan, kata kata, cukup lengkap boleh kita hulur.
Tapi, bila tiba masa kita, kita tak berupaya hatta pujuk diri sendiri. orang yang melihat akan banyak berkata, tabahlah, kuatlah, bangkitlah, tapi sungguh takkan sama dengan apa yang kita rasa.
Serius. takkan sama. mungkin kita boleh tipu mereka dengan senyuman yang pahitnya hanya kita tahu. mungkin boleh kita sorok, padahal air mata dah tak upaya nak keluar lagi, mungkin boleh kita palsukan dengan kata kata,
takpe, aku okay. terima kasih ye” padahal hati dah koyak rabak, sepi dan mungkin dah takde dalam diri.
Masa tu, kita akan lebih banyak diam. fikir balik. reflek diri.
Kenapa aku diuji? kenapa, AKU?
Lalu, masa tu, kita akan lebih rasa betapa Allah itu sangat dekat. kalau kita tak diuji, ada ke kita nak duduk diam diam, sorang sorang, fikir balik apa tujuan hidup ini?
Mungkin tak, kerana kita tak rasa keperluan dan kebergantungan kita pada Allah, kita lupa, yang mengizinkan segalanya terjadi adalah DIA. saat diri diuji, hati akan lebih lembut.
Saat itulah kita rasa nak letakkan sepenuh pengharapan pada Allah.
Saat itulah solat, doa , segala ibadah kita, kita lakukan sepenuh hati, seikhlas mungkin kerana saat diri diuji baru kita sedar, betapa kerdil diri ini. Ujian sebenarnya bertujuan menguatkan.
Ujian sebenarnya, teguran dari Tuhan untuk kita agar tidak terlalu lalai dengan keseronokan dan kenikmatan yang diberi sehingga buat kita lupa untuk mengucap syukur sepenuh hati.
Ujian sebenarnya, untuk buat kita sedar dari mimpi. Mimpi yang bakal disoal nanti.
Kenapa AKU yang diuji?
Mungkin kerana, kita banyak lupa pada Illahi? mungkin untuk menguatkan kembali iman dalam diri?
Mungkin, bila mana ada orang datang dan berkongsi masalah diri, kita akan lebih memahami, kerana kita pernah mengalami?
Segalanya mungkin, kerana Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu untuk tujuan yang sia sia. pasti ada tujuannya, dan ketahuilah bahawa hidup ini bukan untuk berseronok sahaja, ada amanah yang tergalas di bahu kita.
Jangan besarkan masalah, besarkan Tuhan yang Maha membukakan jalan. kuatlah kawan, sesungguhnya Allah itu takkan membebani hamba hambaNya di luar kemampuan hamba hambaNya..
Cepat atau lambat, hikmah itu bakal tersingkap
.

Monday, 29 July 2013

Itu Jodoh Terbaik?? ....Lupakan Saja

Jodoh merupakan topik kegemaran untuk setiap orang, baik yang masih single ataupun yang sudah berpasangan, mahupun yang sudah berkahwin.
Dan topik ini juga digemari di semua peringkat umur dan kategori, dari budak berhingus, budak tadika, budak sekolah rendah, budak sekolah menengah, pelajar kolej, mahasiswa universiti, kakitangan pekerja awam dan swasta, pak haji, mak haji, dan lain-lain.
jodoh
Kita selalu dengar bahawa ; jodoh, rezeki, ajal dan maut di tangan Tuhan. Dan selalu jugak kita akan dengar orang akan menjawab ; memanglah di tangan Tuhan, tapi kita perlu usaha mencari jugak.
Disebabkan konsep ‘perlu usaha mencari’ inilah, maka ramai yang berlumba-lumba mencari jodoh untuk diri sendiri.
Apatah lagi zaman ni zaman facebook, zaman di mana orang berlumba-lumba mahu menulis di status tentang mesranya hubungan mereka dan pasangan mereka.
Bagi para muda mudi pulak, jika masih tiada pasangan atau couple, maka itu adalah sesuatu yang tidak cool.
Zaman ini jika anda masih belum punya pasangan, maka anda dikira kolot, dan akan dilabel dengan pelbagai gelaran ; anak mak, ustaz, konon baik, bajet alim dan sebagainya. Oh, saya selalu dilabel sebegitu.
Saya selalu bertanya kepada rakan-rakan yang sudah bercouple, adakah pasangan mereka merupakan jodoh terbaik buat mereka?
Jawapan sebegini sudah saya hafal :
“memanglah yang terbaik. Dia memahami aku, dia sayang aku. Aku pun sayang dia. Kitorang saling mencintai. Kitorang selalu pergi jalan-jalan, shoping.
Kadang-kadang kitorang pegi makan-makan, tengok wayang. Awek aku sporting kau tau. Tak kolot. Aku kalau keluar pegi mana-mana, tak lepas dari pegang tangan dia. Dia pun ok je.
Eh, takkan kau tak tengok gambar dalam facebook kitorang?”
Itu jodoh terbaik? Lupakan saja. Fahamkah mereka semua apa yang dikatakan terbaik?
Terbaik itu bermaksud baik untuk dunia dan akhirat. Yang boleh saling membimbing untuk kebaikan dunia dan akhirat.
Yang mengingatkan tentang Allah dan saling berpesan dengan kebenaran untuk menegakkan agama Allah. Jadi kalau berpegang tangan, keluar tengok wayang, merewang-rewang sampai jauh-jauh malam, apa yang baiknya?
Di mana kebaikannya?
Bukan, saya tidak mengharapkan wanita sufi seperti rabiatul adawiyah untuk dikurniakan menjadi isteri. Kerana saya pun bukanlah lelaki baik dan sempurna.
Tapi dalam mencari jodoh yang terbaik, saya selalu ingatkan diri saya sendiri supaya menjadi seseorang yang baik. Baik di sini bukanlah baik di mata manusia semata-mata, tetapi baik di sisi Tuhan.
Apabila kita baik dengan Tuhan, maka barulah secara sendirinya kita akan jadi baik di mata orang lain.
Dengan menjadi baik kepada Tuhan ; beribadah dengan khusyuk, membuat kebajikan, menjauhi larangan, dan berbuat baik kepada sesama manusia dan makhluk di muka bumi ini dan sebagainya, maka insyaAllah Tuhan akan membalasnya dengan kebaikan juga.
Bukankah cinta itu datang bersama ketaqwaan pada Ilahi?
Ya, saya tahu, ramai akan mempersoalkan sebab saya berkata sebegini. Ramai juga yang bertanya dari mana saya dapat ‘formula’ jodoh yang begini? Dari novel? Buku motivasi? Filem?
Jangan sampai tersalah memilih orang
Jawapannya mudah. Sangat mudah. Bukankah kita sudah ditinggalkan dengan dua harta paling berharga oleh Rasulullah S.A.W, iaitu al-Quran dan Hadis? Inilah ayat yang menjadi pegangan saya :
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.
 (Surah An-Nur ayat 26)
Jika sudah begitu yang dijanjikan Tuhan, maka saya tak pernah ragu akan janji itu. Selagi saya berusaha untuk menjadi yang terbaik taqwanya di sisi Tuhan, maka saya percaya Tuhan akan mengurniakan saya jodoh yang baik juga. InsyaAllah.
.

LANGKAH UNTUK BERUBAH: JAGA HATI...BUKAN KERANA JODOH

  Hati

Beberapa hari lepas, usai solat berjemaah di masjid universiti, saya duduk merehatkan badan sebelum pergi menelaah di perpustakaan. Sambil rehat-rehat, ada kawan menegur.
Kemudian datang kelompok kawan-kawan yang lain. Wah ramai juga yang tak balik rumah walaupun sedang cuti study week.
Lalu berbicaralah kami dengan bermodalkan beberapa isu yang kian hangat; dari hal remeh seperti lampu jalan di sekitar universiti yang sudah lama rosak hinggalah kepada isu negara seperti kekecohan pra-kempen sebelum pilihan raya.
Sempat juga diselitkan hal-hal wanita, memandangkan kebanyakannya sudah tahun akhir maka hal jodoh – jodoh mungkin lebih dekat.
Seorang rakan (yang baru saya kenali di situ) melampiaskan kekecewaannya.
Katanya kerana pengaruh ‘ayat-ayat cinta islamik’ yang kian bertebaran di Facebook menyukarkan dia untuk mencari jodoh yang memahami.
Mana tidaknya, dia mengutarakan isu wanita kini (wanita yang baik-baik) yang meletakkan ‘penanda aras’ bahawa “lelaki yang berbaju melayu, pakai kain pelikat dan berkopiah pergi masjid adalah lelaki yang sweet dan sesuai dijadikan jodoh”.
Kata beliau lagi, “lalu kita ini, yang pergi masjid pakai seluar jeans, pakai t-shirt ni macam mana? Tak sweetkah?
Apakah kalau pergi masjid itu syaratnya perlu pakai baju melayu dan kain pelikat? Kalau selain dari itu, tidak layak digelar pemuda masjid?”
Seorang lagi rakannya mencelah, sambil mengiakan hal berkenaan.
Kata beliau, dua hari lepas dia terserempak dengan beberapa wanita yang memberikan pandangan berbeza. Ketika itu dia dan rakannya yang sedang berbaju melayu, berkain pelikat dan berkopiah sedang menghidupkan enjin motor di parkir.
kata beliau, wanita yang lalu lalang di situ tersenyum pada rakannya, tapi tidak pada beliau.
Beliau menambah wanita-wanita itu memandang beliau dengan pandangan ‘eleh mamat ni maghrib entah nak pi mana entah, orang pi la masjid’.
Dia dijeling hanya kerana dia tidak memakai baju melayu kain pelikat sedangkan tujuannya dan rakan disebelahnya sama; ke masjid!
Kami menggeleng.
Parah juga kalau terlalu taksub nak berlakikan orang masjid. Habis yang pakai t-shirt biasa dan seluar biasa, yang niat mereka nak ke masjid tu bagaimana? Tak cukup baguskah?

Jaga Hati, Bukan Kerana Jodoh

Kami terdiam sejenak. Seketika kami dihampiri seorang lagi rakan yang merupakan ahli tabligh. Beliau bertanya dalam nada lucu apa yang kami fikirkan hingga muka berkerut-kerut.
Rakan yang mengutarakan isu tadi menceritakan panjang lebar. Kemudian rakan tabligh tadi tersenyum.
Kata beliau “kalau enta fikir macam tu, enta kena hati – hati. Takut nanti niat enta nak ke masjid untuk beribadah ni, bertukar jadi benda lain pula. Ana ada baca buku, kitab agaknya tajuknya Risalah Sufi apa tu…al qusyair…al qusyri…”
“Risalah Sufi Al-Qusyairi.” saya membantunya.
“Haa…buku tu…bagus enta baca. Dalam buku tu ada menyebut yang cinta ni semuanya ada tujuan. Dan bila tujuan tu tercapai, atau tujuan tu dilupakan, maka tiada sebab untuk dia mencintai lagi.
Macam enta, contohnya, kalau enta pergi masjid sebab nak mengurat anak dara orang, nanti kalau enta dah dapat dia, enta masih pergi masjid lagi tak?
Atau kalau enta tahu anak dara orang tu dah ada yang punya, enta mesti rasa macam alah takda gunanya aku pi masjid dia dah ada orang lain. Kan?”
Kami semua mengangguk. “Al-Junaid punya kata-kata”, saya menegaskan. Rakan tabligh itu segera bersetuju.
Jadi katanya, “biarlah kita ke masjid ni, kita dan Tuhan saja yang tahu niat kita dan keikhlasan kita. Bukan apa, merungut begini, bimbang syaitan itu berbisik yang bukan-bukan.
Syaitan tu di mana-mana pun ada. Dalam masjid pun dia boleh bisik kat kita, walau kita tengah sembahyang. Inikan pulak tengah duduk-duduk begini.”
Azan isyak berkumandang. Kami bangkit dan bersalam, tersenyum seperti ada semangat baru meresap. Melangkah beramai-ramai ke dalam saf, untuk minta supaya ditetapkan hati dan iman hanya untuk DIA, bukan makhluk-Nya.
Ketika itu juga rakan tabligh kami mengangkat tangan dan berdoa “ya Allah, tahun baru akan datang, teguhkanlah hati kami agar sentiasa istiqamah di atas jalan-Mu, ibadah kami, amal kami, hidup mati kami, hanya untuk-Mu.”
Ramai-ramai kami mengaminkan doa itu.
Ikhlaskan hati. Kuatkan hati. Allah Allah Allah. Hati ini milik-Mu, jagakan ia sebaiknya kerana jika aku yang menjaganya, kerap aku campakkan ia di tempat yang tak sepatutnya.
.